Wednesday, August 29, 2012

Guru Besar Kena Gomol Sebab Tegur Kelas Bising



Nama              :   Chin Kim Tsuey
No. Matrik       :   200930134003
Artikel              :   Guru Besar Kena Gomol Sebab Tegur Kelas Bising




      


         Dalam era globalisasi masa kini, banyak perkembangan dan pembangunan dari pelbagai aspek yang berlaku di sekeliling kita. Sama ada kita sedar atau tidak, perkembangan dan pembangunan yang kita lihat hari ini adalah hasil kerjasama ahli masyarakat terutamanya golongan profesional. Antara bidang profesional yang terlibat adalah keguruan, perubatan, kejuruteraan, perundangan dan sebagainya.
 Menurut Ornstein dan Levine (1993), konsep profesional merujuk kepada ciri-ciri yang terdapat dalam kalangan ahli suatu profesion. Antara ciri-ciri yang telah dinyatakan adalah cekap dan mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diceburi dan adanya kod etika yang mengawal tingkah laku ahli.
Guru juga adalah seorang yang profesional. Ini bermakna guru adalah seorang yang mendapat latihan yang khusus, berpengetahuan luas dan pakar dalam bidang yang diceburi serta ada kod etika yang tersendiri.
Berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan, profesion keguruan pada hari ini dilihat semakin goyah kerana ada segelintir guru yang sanggup melanggar kod etika keguruan yang telah sedia termaktub. Ini terbukti apabila semakin banyak isu mengenai salah laku guru tersiar di internet dan dada-dada akhbar.
Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak isu mengenai guru dan keguruan disiarkan dalam media massa. Sebagai contoh, guru besar kena gomol sebab tegur kelas bising. Kes ini berlaku di sebuah sekolah rendah di Georgetown di mana murid terpaksa menonton aksi ’kung fu’ antara guru besar dan guru kelas mereka selepas berlaku perselisihan faham antara dua pendidik itu. Pergaduhan tercetus selepas guru besar menegur cikgu itu yang gagal mengawal murid daripada membuat bising. Suasana menjadi kecoh sehinggalah guru lain terpaksa campur tangan untuk meleraikan pergaduhan antara kedua-dua orang guru yang terbabit itu. Akibat daripada pergaduhan itu, guru besar yang terbabit cedera di kedua-dua belah tangan dan juga bahagian belakang kepala. Manakala guru kelas pula cedera pada mata akibat terkena tikaman pen ketika bergelut dan kedua-duanya sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, GOMOL itu bermaksud peluk-memeluk dan guling-menggulingkan seperti orang bergusti untuk menunjukkan kekuatan seseorang dan lain-lain. Dalam kes ini, berlakunya pergaduhan yang melibatkan sentuhan tubuh badan yang mana akhirnya menyebabkan kedua-dua pendidik yang terbabit itu cedera.
Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), etika perguruan yang diwujudkan oleh kerajaan akan memartabatkan profesion perguruan itu sendiri. Kod etika menyediakan garis panduan bagaimana guru harus bertingkahlaku dalam profesion perguruan. Kod ini merupakan panduan kepada guru dan ia adalah amat sesuai untuk dirujuk serta diamalkan oleh guru. Kod Etika Perguruan telahpun menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru terhadap pemegang amanah dalam bidang pendidikan di mana ia dapat membantu guru lebih faham dan jelas tentang tanggungjawab mereka.
Berdasarkan kes yang dinyatakan di atas, guru yang terbabit itu telahpun melanggar beberapa kod etika guru yang telah ditetapkan. Pertama, seperti mana yang dinyatakan dalam Kod Etika Perguruan, “seorang guru tidak harus bertingkah laku begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionnya dan yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan”. Guru yang terbabit telahpun mencetuskan pergaduhan antara dua orang pendidik di mana tingkah laku yang kurang sesuai dan kurang sopan ditunjukkan di depan murid yang ramai. Hal ini sanggup menjejaskan sifat profesionnya dan seterusnya mampu menyebabkan kehilangan kepercayaan dari anak murid, ibu bapa, serta masyarakat terhadap profesion perguruan.
Kedua, “seorang guru haruslah bertugas sebagai “pengganti ibu bapa” dalam usaha untuk membentuk tingkah laku murid-murid ke arah matlamat-matlamat yang diterima oleh masyarakat”. Purata seorang pelajar menghabiskan masa di sekolah setiap hari adalah selama 8 jam atau lebih.Kesemua aktiviti yang diakan di sekolah memerluka kehadiran guru sebagai penasihat atau pembimbing.Tidak hairanlah jika terjalin satu ikatan silaturahim yang cukup erat antara guru dan murid. Oleh itu, guru haruslah berusaha untuk membentuk tingkah laku murud-murid supaya ianya dapat diterima oleh masyarakat dan bukannya menunjukkan kelakuan yang negatif itu di depan mereka. Hal ini sanggup memesongkan fikiran murid-murid dalam aspek membentuk tingkah laku yang positif.
Selain itu, ternyata juga dalam Kod Etika Perguruan bahawa “seorang guru haruslah bertingkah laku begitu rupa supaya menjadi contoh teladan yang baik terhadap murid-murid”. Murid sering melihat guru mereka sebagai contoh teladan yang positif. Guru yang dilihat sebagai baik, berkelakuan sopan dan berjaya dalam pelajaran akan dijadikan idola oleh seseorang pelajar itu. Pada mata pelajar, guru seperti ini berupaya untuk memberikan mereka semangat untuk berjaya dalam hidup lalu menjadi seorang insan yang berguna di dunia ini sama seperti guru mereka itu. Bayangkan jika semua murid mengjadikan guru sebagai role model, apa yang akan berlaku akibat daripada pergaduhan antara dua orang pendidik itu? Sudah tentu sesuatu yang tidak baik akan selalu diingat oleh murid bagi suatu masa yang panjang.
Di samping melanggar Kod Etika Perguruan, guru yang terbabit itu juga melakukan kesalahan ataupun boleh dikatakan tidak melaksanakan akauntabiliti dengan sempurna. Mengikut Kamus Dwibahasa , perkataan ‘akauntabiliti’ dihuraikan sebagai bertangungjawab kepada seseorang atau bertanggungjawab terhadap sesuatu. Menurut Tan Sri Ahmad Sarji, konsep akauntabiliti adalah satu obligasi untuk memberikan jawapan dan penjelasan mengenai sesuatu tindakan dan prestasi kepada mereka yang berhak untuk mendapat jawapan dan penjelasan tersebut. Akauntabiliti juga adalah mengenai disiplin dan keperluan untuk memberikan justifikasi dan menerima kebertanggungjawaban terhadap sesuatu keputusan yang telah diambil.
Akauntabiliti keguruan pula bermaksud tanggungjawab yang harus difahami dan dilaksanakan oleh seseorang guru. Akauntabiliti keguruan juga membawa maksud tanggungjawab guru terhadap profesionalisme keguruan. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru yang dimaksudkan di atas merangkumi akauntabiliti guru terhadap pelajar, diri guru itu sendiri, sekolah, masyarakat dan negara, dan profesion perguruan amnya.
Dalam kes yang dibincangkan itu, guru yang terbabit itu boleh dikatakan tidak melaksanakan akauntabilitinya terhadap keempat-empat pihak iaitu akauntabiliti terhadap murid, ibu bapa, profesion perguruannya serta masyarakat dan negara. Pertama, dari aspek akauntabiliti terhadap murid, guru tersebut sepatutnya mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid daripada hal-hal yang lain. Beliau juga perlulah menunjukkan penampilan diri, peraturan dan perbuatan yang baik sepanjang masa dan berusaha agar amalan dapat menonjolkan ciri-ciri kecemerlangan dan kualiti yang boleh menjadi sumber inspirasi kepada murid. Hal ini adalah disebabkan guru dianggap sebagai individu yang ideal, berstatus dan berkelayakan, maka tingkah laku guru akan menjadi ikutan murid seperti kata pepatah “jika guru kencing berdiri maka murid kencing berlari” dan tidak berlaku seperti “ketam menyuruh anaknya berjalan lurus.” Justeru, guru seharusnya menjaga tingkah laku diri sendiri dan berusaha menunjukkan sesuatu yang dapat memberi contoh yang baik kepada murid.
Kedua, akauntabiliti terhadap ibu bapa. Seseorang guru haruslah mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata dan melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan murid dan ibu bapa terhadap guru. Kelakuan kedua-dua pendidikan tersebut telah menjejaskan imej seorang pendidik di depan murid dan hal ini seterusnya akan tersebar sehinggalah ke telinga ibu bapa. Impak daripada kejadian tersebut ialah kepercayaan murid dan ibu bapa terhadap guru akan terjejas dan ianya bukan sahaja ditujukan kepada guru yang terbabit itu, malah  guru-guru yang lain yang tidak terlibat juga tetap terpengaruh.
Seterusnya adalah akauntabiliti terhadap rakan sejawat dan profesion perguruan. Seorang guru sepatutnya sanggup mengawal diri demi mengelakkan diri daripada membuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru. Akan tetapi, guru yang terbabit dalam kes tersebut bukan sahaja melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah dirinya, malah juga mencemar nama baik guru yang lain. Hal ini seterusnya akan menjejaskan profesionalisme perguruan dan akhirnya pihak-pihak yang tidak bersalah juga tetap menerima impaknya.
Dari aspek akauntabiliti terhadap masyarakat dan negara, seseorang guru itu sepatutnya mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang bertentangan dengan Rukunegara dan haruslah berusaha untuk memupuk sikap dalam diri murid dengan nilai yang membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang lain serta berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan sehari-hari dengan baik. Malangnya, guru tersebut menunjukkan tingkah laku yang kurang sopan di depan murid, dan hal ini adalah bertentangan dengan salah satu prinsip Rukunegara iaitu “Kesopanan dan Kesusilaan”. Tingkah laku yang tidak baik ini bukan sahaja tidak dapat memupuk sikap dalam diri murid yang positif malah ia sanggup membina kelakuan yang negatif di kalangan murid.
Berdasarkan perkara-perkara yang dibincang di atas, salah satu punca yang mencetuskan kes tersebut adalah tekanan yang dihadapi oleh guru tersebut. Pada abad ke-21 ini, guru menghadapi cabaran yang lebih ketara dengan tuntutan daripada ibu bapa, masyarakat, pihak pengurusan sekolah dan kementerian demi meningkatkan kualiti pendidikan. Suasana pengajaran dan pembelajaran serta kualiti pengajaran guru kian dipersoalkan dan diutarakan sebagai punca kemerosotan prestasi murid. Perubahan dalam sistem pendidikan yang menuntut paradigma dalam kalangan guru akan secara langsung atau tidak membawa kepada tekanan terhadap guru.
Tekanan emosi sememangnya berlaku kerana guru berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak pengurusan selain perlu menunaikan tugas harian atau tugas utama meraka di dalam bilik darjah. Dalam proses melakasanakan tugas dan tanggungjawab, guru kian menemukan halangan, kesuntukan masa dan perselisihan faham antara guru. Jika guru tidak dapat menyelesaikan masalah atau menangani cabaran yang dihadapi, mereka akan mengalami tekanak emosi.
Mengikut Kyriacou (2000), stres guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan kemurungan akibat daripada tugasnya sebagai seorang guru. Maka, stres merupakan tindak balas fizikal yang biasa terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan berlaku.
Secara umumnya, punca stress di kalangan guru boleh dibahagikan kepada dua aspek, iaitu punca profesional dan punca peribadi. Dalam aspek profesional, ia boleh dibahagikan kepada tiga iaitu persekitaran kerja, perubahan dan beban kerja. Pertama, persekitaran kerja yang kurang kondusif boleh menjadi punca berlakunya stres kepada guru yang terbabit dan seterusnya menjadi pencetus bagi kes tersebut. Misalnya ruang kerja yang sempit dan kelas yang tidak selesa telahpun menimbulkan ketidakselesaan kepada guru tersebut sebelum kes itu berlaku. Kedua, perubahan peningkatan populasi dalam masyarakat, peningkatan taraf hidup dan jenayah yang memberikan impak negatif dalam tingkah laku murid menyebabkan guru harus melakukan perubahan dalam kehidupan profesional dan peribadinya. Seperti mana yang berlaku dalam kes tersebut, guru dipercayai gagal mengawal kelas. Hal ini mungkin disebabkan perubahan tingkah laku murid tidak dapat disesuaikan oleh guru tersebut dan akhirnya perubahan ini menyebabkan terganggunya sistem keseimbangan dalam diri guru tersebut. Seterusnya beban kerja. Pihak guru pula saban hari dibebani dengan pelbagai tugas yang semakin mencabar. Pembangunan profesionalisme diri guru sentiasa dituntut, komitmen guru sentiasa dipertikaikan sementara sebaliknya pengorbanan guru kelihatan agak kurang ditonjolkan oleh masyarakat. Oleh yang demikian, bebanan kerja yang semakin meningkatkan menyumbang kepada tekanan emosi guru.      
Dalam aspek peribadi pula, ia boleh dibahagikan kepada dua perkara yang paling utama, iaitu kesihatan, kewangan. Kesihatan merupakan faktor yang amat mempengaruhi tingkah laku seseorang. Dalam kes ini, kesihatan guru tersebut pada hari kejadian mungkin berada dalam keadaan yang kurang baik. Justeru, emosi guru tersebut terganggu apabila berhadapan dengan teguran dan rakaman yang dilakukan oleh guru besar tersebut. Selain itu, masalah kewangan juga dijadikan salah satu perkara yang turut membangunkan tekanan seseorang guru. Gaji guru lebih rendah berbanding dengan profesion yang lain. Oleh yang demikian, guru tersebut mungkin menghadapi masalah kewangan pada masa itu dan ianya merunsingkannya pada setiap masa. Maka, emosi dan tingkah laku yang negatif daripada guru tersebut dengan mudahnya dicetus.
Masalah ini jika dibiarkan berterusan akan menjurus kepada permasalahan yang lebih besar dan kesannya amatlah buruk. Menyedari hakikat ini, maka langkah yang sesuai dan berkesan perlu diambil.  Pertama, meningkatkan kesedaran terhadap Kod etika keguruan. Sebagai seorang guru, kita diingatkan agar tidak bertindak melanggar etika, melampaui batas peraturan atau undang-undang kerana ianya sesuatu yang perlu dihayati dan dibangunkan secara dalaman dan bukan semata-mata takutkan tindakan tatatertib apabila melanggarnya. Seseorang individu yang menghayati etika perkhidmatan tidak akan melanggarnya bukan kerana takut kepada tindakan yang akan dikenakan kepadanya, tetapi akan berasa amat bersalah dari segi profesion perkhidmatannya.
Kedua, memupuk profesionalisme perguruan. Dalam usaha memupuk profesionalisme perguruan, upacara kemasukan guru pelatih merupakan salah satu caranya bagi pihak berkuasa meningkatkan kesedaran guru pelatih terhadap profesion dan kod pemakaian semasa hari sambutan. Selain itu, pertubuhan guru juga boleh mengadakan banyak aktiviti seperti forum, seminar, kursus dalam pendidikan, konvensyen dan penyelidikan untuk memperbanyakkan ilmu yang berhubung rapat dengan pendidikan seperti sosiologi, kepimpinan dan isu semasa. Di samping itu, bimbingan pengurusan atasan juga merupakan perkara yang penting dalam memupuk profesionalisme perguruan. Pendidik guru atau guru besar wajar adalah mental model. Mereka harus menampilkan perkara yang baik dan berkualiti agar dapat dicontohi oleh guru permulaan dan guru pelatih.
Ketiga, kesedaran akauntabiliti seseorang guru. Dengan memahami prinsip akauntabiliti, guru dapat memahami tanggungjawabnya yang sebenar. Penghayatan akauntabiliti haruslah dihayati sepenuhnya kerana ia akan dapat meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Hal ini adalah kerana penghayatan tersebut membolehkan semua guru dapat menjalankan tanggungjawab dan tugas-tugasnya dengan penuh komitmen dan dedikasi. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru merangkumi akauntabilitinya terhadap sekolah, diri sendiri, murid-murid dan profesion keguruan akan dapat ditingkatkan sekiranya seseorang guru itu benar-benar menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik dengan berkesan. Peningkatan dalam bidang tersebut melambangkan tingginya kualiti seseorang guru yang juga akan meningkatkan taraf  profesionalisme keguruan. Selain itu guru juga dapat melaksanakan tugas itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi sekiranya guru tahu tanggungjawabnya terhadap kerjayanya. Kesedaran kepada akauntabiliti akan menjadikan seseorang guru itu lebih bertanggungjawab terhadap tanggungjawab yang dilaksanakannya. Oleh yang demikian,akauntabiliti perlulah dihayati oleh semua guru. Sekiranya seseorang guru itu mengabaikan akauntabiliti terhadap tugas, maka tanggungjawabnya tidak dapat dijalankan dengan baik dan akan gagal melahirkan modal insan seperti yang dicita-citakan negara. Hal ini seterusnya akan menjatuhkan martabat profesion perguruan oleh kerana perbuatan yang tidak  bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.
Keempat, menangani stres yang dialami. Stres jika dibiarkan, boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik. Justeru adalah penting untuk mengubah diri individu untuk menangani stres dengan cara yang terbaik. Kenal pasti punca yang menyebabkan masalah tersebut dan ubah. Dengan mengetahui punca stres tersebut, individu bukan hanya meringankan masalah kini malah menghindarkan berulangnya masalah serupa pada masa akan datang. Contohnya, jika seseorang guru kecewa dengan perbalahan dengan pelajarnya, guru tersebut mungkin menyedari bahawa punca kekecewaannya itu bukan disebabkan oleh tingkah laku pelajar tetapi harapan yang tidak realistik guru berkenaan. Dengan mengubah standard yang ingin dicapai, guru tersebut akan mendapati bahawa tingkah laku pelajar tidak lagi mengganggunya.
Secara kesimpulannya, situasi sebegini akan menjadi lebih buruk jika ada sejarah ketidakpuasan atau dendam masa lampau yang terpendam di hati dan tidak diluahkan dengan cara yang profesional. Walau bagaimanapun, sebagai pendidik bangsa, bergaduh di depan murid merupakan suatu perbuatan yang tidak wajar dilakukan. Hal ini demikian kerana golongan guru harus menunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada anak didik. Kalau boleh di hadapan murid kita tidak boleh menunjukkan kelemahan diri kita sebagai guru yang sentiasa dihormati dan dipandang tinggi. Jika beginilah yang terjadi, percayalah sehingga ke 1000 tahun lagi, kita akan tetap diingati oleh murid-murid kita sebagai guru yang bergaduh di hadapan mereka.
Kemarahan yang disebabkan tekanan peribadi, kerja, kewangan dan sebagainya hendaklah ditangani dengan sebaik-baiknya. Jangan sampai kita disesatkan dan kewarasan kita dilenyek-lenyek oleh hasutan iblis dan syaitan. Belajarlah bersabar walaupun pedis untuk melakukannya kerana kesabaran bisa meranapkan gunung kemarahan yang ghairah memuntahkan larvanya. Jadikanlah peristiwa ini sebagai ikhtibar kepada pendidik lain di seluruh negara. Tindakan ini bukan sesuatu yang baik untuk dicontohi, bukannya sesuatu yang elok untuk diteladani. Semoga masalah ini menemui jalan penyelesaian yang terbaik. Buka buku baru dan mulakanlah hidup baharu. Buang yang keruh dan ambilah yang jernih. Dalam pada itu, jangan pula ada sesiapa yang cuba menangguk di air keruh kerana tindakan itu mungkin hanya seperti tikus yang membaiki labu. Selesaikanlah dengan kemaafan kerana kemaafan itu merupakan dendam yang terindah. Percayalah, nafas kita akan lebih lancar selepas mengucapkan kata-kata “Maafkanlah saya, saya berjanji tidak akan mengulanginya lagi”. Ucapkanlah walaupun susah kerana inilah ubat yang paling mujarab untuk kita membina kembali hubungan yang rapuh itu. 

  Rujukan :
  1. http://busuk.org/ping/view/118974
  2. http://s6.zetaboards.com/DRAGONIZER/topic/760392/1/
  3. http://www.scribd.com/doc/2987986/KOD-ETIKA-PROFESION-PERGURUAN
  4. http://webmastering1.tripod.com/nantha/rank2.html
  5. http://www.scribd.com/doc/3630163/akauntabiliti-guru
  6. http://kulanzsalleh.com/stress-di-kalangan-guru/
  7. http://alumniksm.blogspot.com/2010/11/normal-0-false-false-false-en-us-x-none.html

No comments:

Post a Comment