Wednesday, August 29, 2012

Murid Agama Dibelasah Guru



Nama            : Gan Fong Nan
No. Matriks   :  200930134007
Artikel            :  Murid Agama Dibelasah Guru





 


Cabaran era komunikasi abad ke-21 terhadap sistem pendidikan Negara begitu terasa. Profesion perguruan juga merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat masa depan yang serba canggih sebagai jentera penggerak Negara. Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat masa hadapan yag hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai social yang baik dari segi moral dan etika yang murni. Malangnya ketika aspirasi Negara, timbul pula pelbagai masalah di kalangan guru-guru.

Berita guru memukul pelajar, mendera, mencabul dan merogol anak didik sendiri sering berlaku dan menjadi topic media. Tidak kurang juga apabila ia menjadi bualan hangat di kalangan masyarakat. Kejadian guru-guru memukul pelajar sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa. Dahulu, para pendidik mempunyai status yang tinggi dalam hidup masyarakat tetapi sekarang tidak lagi.

Seterusnya, mari kita melihat bagaimana keganasan yang dilakukan guru terhadap pelajar. Pada 4 April 2011, seorang murid  iaitu Saiful Syazani Sopfidee, murid darjah satu sebuah sekolah agama persendirian di Arau telah meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahyiah , Alor Setar selepas koma sejak tiga hari lalu akibat parah dibelasah gurunya.

Punca kejadian mangsa dibelasah dengan teruk kerana didakwa mencuri wang RM 7 milik rakan sekelas. Mangsa iaitu Saiful Syazani yang juga merupakan anak yatim dibelasah dengan kejam oleh gurunya dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga menyebabkan mangsa koma dalam kejadian .

Mangsa berjaya membuka ikatan tangannya untuk melarikan diri hingga menimbulkan kemarahan guru berkenaan yang memukulnya tanpa belas kasihan.

Selepas guru memukul kepala, suspek dikatakan “naik minyak” dan guru menggoncang badan mangsa serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama mangsa mengaami masalah pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung.

Menurut berita ini, guru terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang kerana perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan itu. Kesalahan tingkah laku guru ini bukan merupakan kes baharu yang berlaku di Negara kita, tetapi merupakan perkara yang sering dapat dibaca melalui media massa. 

Berdasarkan kes tersebut, kita dapat melihat betapa ganasnya kes ini  yang melibatkan guru. Apakah yang menyebabkan ramai guru-guru bertindak ganas? Wajarkah seorang guru yang dianggap sebagai satu jawatan yang profesional bersikap sedemikian terhadap pelajar dan masyarakat?

Pada pendapat saya, guru boleh mendenda atau memukul murid untuk mengajar dengan niat untuk menjadikan murid lebih baik, tetapi guru tidak boleh mendenda atau memukul dengan niat untuk melukakan, untuk menyakitkan atau atas dasar membalas dendam.

Jika guru hendak memukul murid, guru tersebut hendak memastikan denda dan pukulan itu dapat mengubah atau memberikan kebaikan kepada murid. Jika denda dan pukulan tidak memberi kesan dan murid masih tidak berubah (kategori murid degil tegar), guru diharam untuk memukul atau mendenda murid tersebut kerana ia tidak lagi memberi faedah kepada murid. Seperti kes diatas, guru tersebut sepatutnya telah melebihi hukuman yang sepatutnya kerana guru tersebut mengoncang badan murid serta menolak dengan kuat ke dinding, ini akan menyebabkan cedera yang parah dan akhirnya telah mengakibatkan maut.

Sebenarnya, guru tidak boleh mengenakan hukuman atau denda kepada pelajar yang melakukan kesalahan kecil dengan cara mendera atau mencela.Pelbagai cara dendaan boleh dibuat. Guru boleh paksa murid menulis karangan di rumah, dan kerja-kerja yang boleh memberikan nilai murni kepada pelajar atau dengan cara yang sesuai.

Semua hukuman dan denda yang berbentuk pendidikan telah dinyatakan secara jelas dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1983 di bawah Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid Yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran. Dalam pekeliling ini diberitahu tindakan hukuman seperti mengetuk dan menyekel kepala murid, menampar, mencubit hingga lebam, memulas telinga, membuat henjutan sambil memegang telinga, mencela, mendera seperti berlari keliling padang, menjemur atau menghukum murid secara berkumpulan adalah tidak dibenarkan. Guru perlu memahami peraturan dan panduan yang telah digariskan. Sesungguhnya kebanyakan guru menghendaki murid-muridnya mematuhi segala arahan sekolah, tetapi pada masa yang sama ada segelintir guru yang enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kementerian. Ada segelintir guru menjatuhkan hukuman mengikut budi bicara sendiri. Oleh itu, guru yang terlibat dalam kes di atas telah mengingkari peraturan yang ditetap, dan beliau sepatutnya dikenakan tindakan tegas atas perbuatan beliau.

Kejadian ini mesti telah menjadi topik perbualan yang hangat di bidang pendidikan mahupun masyarakat. Persoalan yang akan ditanya adalah :”kenapa guru tersebut bertindak ganas?”. Menurut pakar psikologi kanak-kanak dan remaja, Dr. Mohd. Amin Shariff. “Biasanya bukan sengaja guru ingin menimbulkan masalah, sudah tentu punca datang daripada kenakalan atau kedegilan kanak-kanak itu sendiri. Bukan semua murid itu baik dan patuh pada peraturan sekolah. Itulah naluri kanak-kanak yang perlu kita fahami”. Saya bersetuju bahawa guru tersebut bukan sengaja sanggup untuk membelasah murid tersebut dan mengikat kedua-dua tangannya, tetapi kerana beliau terlalu marah pada masa itu sehingga hilang pertimbangannya apabila kes ini berlaku. 
Segelintir guru yang berhadapan dengan masalah disiplin mahupun masalah pencapaian akademik murid yang lemah, membuat penilaian bahawa murid perlu dihukum sebagai peringatan, pengajaran dan kesedaran kepada mereka. Mungkin guru tersebut termasuk dalam golongan yang yakin bahawa hukuman fizikal seperti merotan dan mendera akan memberi manfaat. Tetapi akibat daripada tindakan fizikal itu, kecederaan hingga luka dan lebam sudah tentu merisaukan ibu bapa. Mungkin guru berkenaan tidak berniat berbuat demikian hingga perlu mendapatkan rawatan perubatan, tetapi emosi telah memainkan peranan dalam menjalankan hukuman, sehingga kesan negatif yang berlebihan sebegitu telah terjadi.

Menurut pakar pendidikan, Prof. Dr. Robiah Sidin, guru sekarang berdepan dengan bilangan pelajar yang terlalu ramai ditambah dengan pelbagai karenah. Ini berbeza dengan murid pada zaman dahulu. Ketika itu murid lebih patuh kepada guru dan ia wajar dicontohi. Bagi saya, saya dapat memahami perasaan guru kerana melalui tiga kali praktikum di sekolah, saya telah dapat melihat masalah disiplin di sekolah adalah berada pada aras yang agak serius, saya juga dapat mengesan kehebatan murid pada zaman sekarang, mereka adalah berani menentang dengan guru dan bersikap biadap terhadap guru. Ini adalah kerana murid sekarang terlalu dimanja oleh ibu bapa sehingga mereka hilang kerhormatan terhadap guru.   

Berdasarkan bancian oleh laman web utusan.com.my terhadap insiden guru menghukum atau mendenda pelajar-pelajar sekolah kerana kesalahan yang kian mendapat publisiti meluas media, ramai yang mengundi pernyataan ‘Pelajar zaman sekarang terlalu dimanjakan’ sebagai sebab meningkatnya masalah disiplin di sekolah. Undian ini merupakan undian tertinggi daripada lima pilihan. Jumlah undi tersebut adalah sebanyak 57.59% daripada 24084 undi ( data sehingga 30/7/2007). Hal ini mengambarkan bahawa ramai dalam kalangan masyarakat mengakui bahawa masalah disiplin berkait rapat dengan tindakan ibu bapa yang terlalu memanjakan anak mereka. Melalui kajian yang telah dibuat, dapat kita tahui bahawa perbuatan murid pada zaman sekarang adalah sangat teruk sehingga guru susah untuk mengawalnya. 

Selain itu, punca guru yang bertindak keterlaluan terhadap murid yang hanya 7 tahun mungkin kerana menghadapi tekanan jiwa akibat beban kerja yang terlalu banyak, tanggungjawab semakin berat dan tuntutan masyarakat yang menggunung terhadap guru. Tekanan boleh menyebabkan tahap mental dan fizikal guru menjadi rendah dan seterusnya terdedah kepada perlakuan-perlakuan yang negative sebagai satu bentuk tindak balas ke atas tekanan yang dihadapi. Oleh itu, guru yang mengalami tekanan itu kemungkinan besar bertindak dengan cara yang tidak dapat diterima akal iaitu mengikat tangan murid pada tingkap dan membelasahnya sehingga murid menjadi koma dan meninggal dunia. Tindakan seperti ini telah menjejaskan profesionalisme guru sebagai seorang pendidik. Guru seharusnya perlu mengetahui cara terbaik untuk menguruskan tekanan yang dihadapi terutamanya pada zaman yang mencabar ini. Tindakan yang tidak betul ini akan memungkinkan rekod bersih mereka tercalar ditambah pula dengan pelbagai tindakan disiplin akan dikenakan kepada mereka sebagai satu bentuk hukuman.

Selain daripada punca di atas, guru bertindak agak kasar mungkin kerana hilang kesabaran. Ini adalah kerana murid yang terlibat dalam kes ini bukan merupakan kali pertama mencuri wang, tetap menurut berita, murid itu telah banyak kali mencuri wang, mungkin pertama kali guru telah memberi peluang untuk mengubah tetapi kalau terlalu banyak kali, ia boleh menghilangkan kesabaran guru dan menyebabkan guru bertindak kasar terhadap murid tersebut. 
Walau bagaimanapun, munurut seorang kaunselor Universiti Islam Antarabangsa, Asniza Mamat, salah satu andaian punca guru bertindak ganas terhadap murid ialah guru itu sendiri tidak berminat kepada profesion perguruan. “Bila tidak minat, bagaimana seseorang guru itu hendak menyesuaikan diri dengan karenah murid. Sudah tentu mereka tidak punya perasaan sabar. Mereka mudah merasa marah. Guru juga adalah manusia biasa yang mempunyai emosi, kadangkala perasaan marahnya sampai ke tahap lupa bahawa dia adalah guru dan berhadapan dengan anak orang lain”.

Kebanyakan guru kini yang dikeluarkan dari maktab atau universiti bukan sebenarnya bercita-cita untuk menjadi guru. Apabila bilangan guru amat berkurangan, kita menerima sahaja golongan yang sebenarnya tidak begitu sesuai menjadi guru. Mereka yang dilatih di maktab dan universiti inilah ada yang bersifat negatif dan orang begini tidak sesuai sebagai guru.

Selain menyalahkan pucan kes adalah dari guru , kita juga tidak boleh menafikan bahawa punca kes juga datang dari pihak yang lain. Jangan menyalahkan guru sahaja kerana ibu bapa juga terlibat kerana kurang menekankan pendidikan moral kepada anak masing-masing. Menurut kes di atas, murid tersebut telah mncuri wang dan perbuatan ini tidak harus berlaku pada seorang murid yang hanya 7 tahun, ibu bapanya seharusnya bertanggungjawab atas perbuatan yang telah dibuat, oleh kerana mereka kurang memberi pendidikan moral dan melatih anak mereka mempunyai niat yang baik, sehingga akhirnya anak mereka telah melakukan perbutan untuk mencuri wang. 

Walau bagaimanapun, ini bukanlah menunjukkan bahawa kita harus menyokong keganasan yang dilakukan guru. Sebaliknya kita sama-sama perlu memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah agar perkara yang sama tidak berulang lagi dan bukan hanya menuding jari kepada mana-mana pihak. Pendedahan kes guru mendera murid ini juga ada kebaikan untuk masyarakat menilai semula peranan masing-masing dalam mencari penyelesaiannya. Gejala ini perlu dibendung dan semua pihak adalah terlibat. 

Pihak pentadbir sekolah haruslah memainkan peranan mereka dan membantu guru-guru agar dapat menumpuh cabaran dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar. Mereka hendaklah memastikan bahawa pada peringkat awal, guru-guru baru dan tidak berpengalaman tidak dibebani dengan tugas dan tanggungjawab yang besar dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar seperti menjadi guru disiplin atau warden. Kes di atas merupakan satu contoh yang boleh dijadikan iktibar oleh pentadbir sekolah. Guru yang berumur baru 26 tahun telah diberi tugas sebagai warden asrama. Tanggungjawab yang diberikan kepada guru muda ini tentunya amat berat. Kemungkinan guru tersebut menghadapi tekanan dan akhirnya mengambil tindakan mengikut emosi. Mungkin tindakan membelasah pelajar tidak berlaku sekiranya yang menangani masalah ialah guru yang lebih berpengalaman. 

Tokoh pendidikan, Tan Sri Prof. Dr. Awang Had Salleh mencadangkan agar Jabatan Pendidikan Negeri mengenalpasti guru-guru yang menghadapi masalah psikologi dan mengatasinya dengan segera. Beliau juga mencadangkan supaya bengkel-bengkel diadakan bukan sahaja untuk menaikkan imej dan kualiti guru, tetapi membantu mereka menghadapi situasi kerja yang semakin rumit serta mengendalikan perasaan tertekan. Dalam pada itu, kursus pengawalan emosi dan tekanan dapat membantu guru dalam menjalankan tugas mereka. Kadang kala, tekanan atau stress menyebabkan guru keterlaluan dalam tindakan mendisiplinkan pelajar.Adakalanya tekanan menyebabkan mereka tidak dapat mengawal emosi dan hilang sabar dalam menghadapi kerenah pelajar-pelajar yang nakal. 

Dr. Robiah K. Hamzah, seorang pakar motivasi sendiri mengakui bahawa jalan terbaik menangani masalah disiplin ialah guru pandai mengawal emosi. Namun, pada masa yang sama, guru juga perlu menunjukkan ketegasan dalam kelembutan (Harian Metro, Isnin 6 Ogos 2007). Jesteru, guru harus diberi pendedahan dan ilmu pengawalan emosi dan tekanan supaya mereka lebih bersedia andai terpaksa berdepan dengan perlakuan melampau batas pelajar-pelajar. Kursus pengawalan emosi dan tekanan mampu membuka minda para guru. Sudah pastinya emosi yang stabil dan fikiran yang tenang membolehkan guru mendidik dan mendisiplin pelajar dengan cara lebih berkesan. 
         Selain itu, dalam usaha mempertingkatkan kualiti guru dan menyediakan guru dengan pelbagai ilmu pengajaran, perhatian juga harus diberi terhadap faktor rohani guru. Perkembangan staff untuk para guru dan wajib diadakan di sekolah hendaklah diisi juga dengan kursus-kursus motivasi. Bukan pelajar sahaja harus dimotivasi tetapi para guru pun perlu diberikan kata-kata semangat untuk terus berjuang mendidik anak bangsa dengan niat yang ikhlas. Cabaran yang dihadapi oleh guru pada era globalisasi ini amat besar . Guru perlu dimotivasi supaya rasa cinta akan profesion mereka akan terus mekar di hati biarpun pelbagai cabaran terpaksa ditempuh. Melalui cara ini, para guru akan lebih tabah menghadapi cabaran yang mendatang. 

Kursus jangka pendek tentang kaedah dan cara mendisiplinkan pelajar oleh guru-guru yang berpengalaman terutamanya guru-guru disiplin wajar juga diadakan. Biarpun para guru (terutama guru baru) telah didedahkan dengan teori-teori psikologi kanak-kanak dan remaja sewaktu menjalani latihan perguruan namun situasi yang berlaku di sekolah ada kalanya di luar jangkaan. Diharapkan agar ilmu mendisiplinkan pelajar dan menangani pelajar bermasalah hasil daripada pengalaman-pengalaman guru-guru lama dapat dikongsi bersama-sama terutamanya dengan guru-guru baru.

Beliau turut mencadangkan untuk mengatasi masalah guru ganas ialah dengan menapis calon guru dari peringkat awal melalui ujian psikologi. Ujian ini berguna untuk menguji kesesuaian seseorang sebagai guru.

 Selain pihak sekolah dan guru harus mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah ini, ibu bapa atau penjaga juga harus memainkan peranan penting dan tidak harus terlalu bergantung kepada sekolah dalam menangani masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar. Ibu bapa dan penjaga harus bekerjasama dengan mengambil berat terhadap segala aktiviti yang disertai anak mereka sama ada di sekolah atau di luar sekolah, masalah disiplin ini bermula dari rumah, jika ibu bapa sentiasa mengambil berat, pasti anak mereka menjadi orang yang boleh diharapkan pada masa depan. Sarannya lagi, ibu bapa hendaklah menghentikan tuduhan, sebaliknya memastikan anak mereka tidak terbabit melakukan salah laku.Jika ibu bapa mampu mendisiplinkan anak di rumah, pasti anak mereka akan berdispilin di sekolah atau di luar rumah.

Justeru itu, semua pihak termasuk ibu bapa dan media perlulah bersikap lebih adil dan rasional apabila berdepan dengan kes guru memukul anak mereka. Cabaran mendidik dan mendisiplinkan pelajar bukanlah tugas yang mudah. Masyarakat tidak seharusnya hanya menunding jari kepada guru setiap kali timbul masalah disiplin dalam kalangan pelajar-pelajar.Tidak ada seorang guru pun yang mahu memukul muridnya sesuka hati tanpa sebarang sebab. Guru adalah pendidik dan berpendidikan. Mereka tahu kesan jika mereka memukul murid. 

Secara kesimpulannya, Ibu bapa dan masyarakat harus sedar bahawa tugas guru bukan sekadar memberi ilmu pengetahuan dan mendidik. Lebih dari itu, mereka bertanggungjawab mendisiplinkan para pelajar, satu proses pembudayaan yang jarang diterima pelajar sewaktu di rumah. Oleh itu, isu guru mendera dan bertindak ganas adalah masalah yang perlu diberi perhatian semua pihak. Seterusnya penyelesaian bersama hendaklah ada terutama di antara guru, ibubapa, pelajar dan sekolah agar masalah-masalah ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik. 


Rujukan :
  1. http://www.scribd.com/doc/56052564/Tercalarkah-Imej-Profesion-Keguruan-Dek-Kesalahan-Seorang-Guru
  2. http://smkbj.edu.my/index.php/14-icetheme/icecarousel/36-carousel-item-3
  3. http://cikguhijau.blogspot.com/2012/07/bolehkah-guru-denda-atau-pukul-murid.html
  4. http://etd.uum.edu.my/1727/1/Azrul_Hisham_bin_Abdul_Manaf.pdf
  5. https://docs.google.com/viewer?a=v&q=cache:67jHLMB9MOUJ:ppdmanjung.edu.my/V02/index.php?option%3Dcom_docman%26task%3Ddoc_download%26gid%3D68%26Itemid%3D151+Surat+Pekeliling+Ikhtisas+Bil.+8/1983&hl=en&pid=bl&srcid=ADGEESjt8qRlBD3uUaZ0G5GbIPRje74bqDrgTxF2qUYz1q5hXCOJNffvp5y5cEVZ43ORa47GJMsjxI9kiZ9j-EJWUYp43Mq2F8-_o9DsW9Sb1VaFfTDGv5jRM0vPfb5e4Wf1Ke-DFegc&sig=AHIEtbQZ6vxSloz6vgLAf7BhruD4amrYGA
  6. http://sarjana.tripod.com/guru1.html

No comments:

Post a Comment